KUCHING: Sarawak serius dalam usaha memacu industri penanaman padi apabila memperuntukkan sejumlah RM500 juta bagi membina skim saliran pada tahun depan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan mengenai perkara itu berkata peruntukan itu untuk kawasan penanaman padi di Sri Aman, Samarahan dan Kuching.
Katanya, perkara itu telah dipersetujui dalam mesyuarat baru-baru ini.
“Ini tidak termasuk kawasan berpotensi besar lain seperti Limbang dan Lawas serta ladang kecil tradisional oleh komuniti,” ujar beliau.
Abang Johari berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam DCCI-KCCI Gawai Kaamatan di Kuching, malam tadi.
Tambahnya, beliau asalnya telah meminta peruntukan itu daripada Kerajaan Persekutuan, namun sehingga kini masih menunggu maklum balas.
“Bila saya kata kawasan ini memerlukan RM1 bilion, menteri kata terlalu banyak. Kemudian saya beritahu mereka kenapa tidak kita bahagi kepada dua, saya beri RM500 juta, awak beri RM500 juta.
"Sehingga hari ini, kita masih menunggu tetapi Sarawak telah memperuntukkan RM500 juta untuk pembangunan ini,” ujar beliau.
Hadir sama isteri Premier Sarawak Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Menteri Perpaduan Negara Malaysia Dato Sri Aaron Ago Dagang, Menteri Kerja Raya Malaysia Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) Dato Allan Keripin Nangkai dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) Datuk Ladislaus Maluda.